27 January 2012

Ribut Geomagnetik

Views



Satu fenomena letusan suar matahari dan semburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) telah dilaporkan berlaku di permukaan matahari pada 23 Januari lalu yang dikesan melalui satelit khas pemantauan matahari, SOHO dan STEREO milik NASA dan ESA.
Letusan ini telah menyebabkan fenomena ribut geomagnetik di bumi pada 24 Januari sekitar jam 15:00 UT (jam 23:00 Waktu tempatan).

Fenomena ini telah dilaporkan oleh stesen TV3 pada hari yang sama.

Untuk rekod, matahari adalah sebuah bintang bersaiz sederhana dan mempunyai aktiviti luaran (permukaan) seperti pembentukan tompok hitam (sunspot), penyemburan tenaga melalui fenomena seperti suar matahari (flare) dan penyemburan jisim korona yang boleh menyebabkan fenomena ribut suria (solar storm).
Aktiviti matahari ini mempunyai kitaran ‘senyap’ dan juga ‘aktif’ selama 11 tahun yang berulang yang dikenali sebagai kitaran suria (solar cycle).
Fenomena di mana matahari mengalami aktiviti ‘aktif’ ini di kenali sebagai solar maksimum (solar max) yang dijangka akan berlaku dalam tahun 2012 hingga 2013.

Kesan fenomena ribut suria dan interaksinya dengan medan magnet dan lapisan ionosfera bumi boleh menyebabkan ribut geomagnetik yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi radio  dan radar, sistem satelit dan gangguan kepada sistem navigasi seperti kompas yang berpandukan kepada magnetik bumi dan fenomena kenampakan aurora di kutub utara dan selatan bumi.
Ribut geomagnetik yang sangat kuat seperti yang berlaku pada tahun 1989 telah menyebabkan arus aruhan yang menyebabkan kebakaran alat transformers di jaringan elektrik voltan tinggi di Wilayah Quebac, Kanada.

Sebenarnya penulis agak panik juga bila mengetahui berlakunya fenomena sedemikian, bertambah panik lagi apabila ramai pihak mendakwa fenomena ini merupakan petanda kiamat makin hampir.
Sejauh manakah benar dakwaan berkenaan?

Agensi Angkasa Negara mempunyai jawapan saintifik berhubung fenomena tersebut.

Dalam kenyataan di laman webnya, AAN menjelaskan satu Nota Jemaah Menteri (N618/2011) daripada MOSTI telah dibentangkan pada 3 Ogos 2011 yang telah menerangkan fenomena berkaitan, dan juga jangkaan berlakunya solar maksimum pada tahun 2012 – 2013 ini, dan kesannya kepada bumi dan aktiviti berkaitan.
Menurut AAN, satu jawatankuasa bersama antara mereka dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum, juga telah diwujudkan untuk memantau dan menangani fenomena solar maksimum ini.


 

Berkenaan laporan ribut geomagnetik yang dilaporkan berlaku pada 23 Januari itu, AAN menjelaskan, laporan daripada National Space Weather Prediction Centre (NSWPC) dan National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA) menunjukkan ribut yang telah berlaku hanyalah pada skala G1 (bacaan paling rendah) dan bukannya G2 – G3 seperti yang dilaporkan oleh berita TV3.

” Ribut itu tidak memberi gangguan kepada sistem infrastruktur di bumi dan hanya telah mewujudkan fenomena aurora di kutub utara. Untuk makluman, skala G5 ialah bacaan yang paling tinggi.

” Untuk makluman juga, fenomena seperti ribut geomagnetik ini hanya memberi kesan yang ketara kepada negara-negara yang berada di kutub atau di latitud tinggi seperti USA, Rusia, Eropah manakala negara-negara yang berada berhampiran Khatulistiwa adalah lebih selamat.


” Sehubungan dengan itu, Malaysia diramalkan selamat dan tidak akan terkesan dengan fenomena berkaitan,” jelas AAN dalam kenyataan tersebut.

Untuk makluman, bermula bulan Januari 2012 ini, Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum akan menyediakan laporan berhubung dengan fenomena ini secara bulanan  untuk makluman umum.

Sumber :  http://www.dkini.com/2012/01/penting-kejadian-ribut-geomagnetik.html

No comments: